Campur tangan orang Bugis di Johor-Riau-Lingga Sejarah_Bugis_di_Tanah_Melayu

Raja Kecil yang telah menawan dan memerintah Johor-Riau-Lingga sebagai Sultan Ke-12, mendirikan pusat pemerintahan di Siak, Sumatera pada tahun 1718. Maka, Raja Sulaiman, putera Sultan Johor-Riau-Lingga ke-11, Bendahara Paduka Tun Abdul Jalil iaitu sultan berketurunan Wangsa Bendahara yang pertama, menggunakan orang-orang Bugis dari Luwok, Makassar kecil, yang berkampung di Kelang untuk mendapat balik kerajaan Johor-Riau-Lingga daripada Raja Kecil.

Sebaik sahaja orang Bugis menerima persetujuan daripada Raja Sulaiman, angkatan Bugis Luwok terus datang dengan tujuh buah kapal menuju ke pusat kerajaan Johor-Riau di Riau untuk menyerang. Kerajaan Johor-Riau kalah dalam peperangan ini dalam tahun Hijrah 1134. Sebagai upahan, Raja Sulaiman bersetuju untuk melantik seorang Bugis Luwok menjadi Yang Dipertuan Muda di Riau bagi mempertahankan agama dan kerajaan Johor, Riau dan Lingga diserang dari luar dan dalam.

Setelah Riau berjaya ditawan, orang-orang Bugis Luwok balik ke Kelang untuk mengumpulkan orang Bugis untuk menyerang kerajaan Johor-Riau yang telah dapat menawan Riau kembali daripada Raja Sulaiman; raja bendahara-bendahara. Sebaik sahaja mereka mendapat tahu penawanan Riau oleh Raja Kerajaan Johor-Riau-Lingga, Bugis Luwok, dengan 30 buah kapal, menuju ke Riau untuk berperang sekali lagi. Dalam perjalanan, mereka menawan Linggi, sebuah daerah di Negeri Sembilan yang ketika itu di bawah kuasa kerajaan Johor-Riau-Lingga. Setelah mendapat tahu tentang penaklukan itu, pasukan raja kerajaan Johor-Riau-Lingga segera ke Linggi untuk menyerang balas.

Pihak Bugis Luwok telah berpecah yang mana 20 buah kapal meneruskan perjalanan menuju ke Riau dan diketuai oleh tiga orang daripada mereka. Sultan Sulaiman I telah datang dari Terengganu dan turut serta memberi bantuan untuk menawan semula Riau. Dalam peperangan ini, mereka telah berjaya merampas kembali tapak kerajaan Johor-Riau di Riau di mana kemudiannya Sultan Sulaiman I mendirikan kerajaan baharu Johor-Riau.

Setelah mengetahui penawanan tapak kerajaan Johor-Riau di Riau, Raja Kecil, raja kerajaan Johor-Riau-Lingga, kembali ke Siak kerana baginda juga telah gagal menawan semula Linggi daripada tangan Raja Sulaiman. Pada tahun 1729, Bugis Luwok sekali lagi menyerang raja kerajaan Johor-Riau-Lingga di Siak ketika Raja Kecil ingin memindahkan alat kebesaran Diraja Johor-Riau-Lingga (sebuah meriam) ke Siak. Setelah mengambil semula kebesaran Diraja tersebut, Sultan Sulaiman I kemudiannya naik takhta Johor-Riau-Lingga sebagai Sultan Johor dengan membawa gelaran "Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah" yang memerintah Johor, Riau, dan Lingga.

Sultan Sulaiman telah melantik Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Riau pertama dari Sapuloh. Kemudian, adik perempuannya, Tengku Tengah, pula dikahwinkan dengan Daeng Parani yang mana suaminya telah mangkat di Kedah semasa menyerang raja kerajaan Johor-Riau Sultan A. Jalil Rahmat Raja Kecil Shah di sana. Seorang lagi adik Sultan Sulaiman Tengku Mandak dikahwinkan dengan Daeng Chelak (1722-1760).

Dalam tahun 1730-an, seorang Bugis bernama Daeng Mateko yang berbaik dengan raja kerajaan Siak mengacau ketenteraman Kelang; negeri Melayu yang diserahkan kapada orang Bugis Luwok sabagai upah membantu Sultan Sulaiman I mendapat kembali kerajaan Johor-Riau-Lingga. Perbuatannya ini menjadikan Daeng Chelak datang ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau. Daeng Mateko dapat dikalahkan dan kemudiannya beliau lari ke Siak. Semenjak itu, Daeng Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor.

Ketika Daeng Chelak berada di Kuala Selangor, penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ sahaja. Walau bagaimanapun, Daeng Chelak telah menamakan salah seorang puteranya, iaitu Raja Lumu, datang ke Kuala Selangor. Waktu inilah datang rombongan anak buahnya dari Riau memanggil Daeng Chelak pulang ke Riau dan mangkat dalam tahun 1745.